Assalamualaikum wrm wbt dan Salam Sejahtera

Selamat Datang ke Portal Rasmi Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB). Portal ini menyalurkan maklumat rasmi berkaitan institusi, program-program sepenuh masa yang diiktiraf oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA), kursus-kursus pendek yang ditawarkan selain fasiliti dan kemudahan yang ada.

Pada 5 Julai 2000, Jemaah Menteri telah mempertimbangkan Memorandum No. 398/2225/00 yang telah dikemukakan oleh Menteri Pendidikan tentang konsep penubuhan dan pelaksanaan Kolej Komuniti di setiap kawasan parlimen. Kolej Komuniti merupakan institusi pendidikan TVET yang menyediakan keperluan latihan dan kemahiran pada semua peringkat Serta memberi peluang pendidikan kepada lepasan menengah sebelum ke pasaran tenaga kerja atau melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

KKKB adalah merupakan institusi TVET yang diletakkan di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan merupakan antara 10  Kolej Komuniti rintis, yang telah dirasmikan pada tahun 2001  oleh YAB  Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Program sepenuh masa yang ditawarkan adalah Sijil Servis Kenderaan Ringan, Sijil Teknologi Pembuatan, Sijil Teknologi Senibina serta Sijil Aniamsi 2D. Sehingga ini KKKB telah Berjaya melahirkan seramai 500 graduan.  KKKB juga turut menawarkan kursus pendidikan sepanjang hayat bagi memenuhi  permintaan dari komuniti setempat, jabatan-jabatan kerajaan dan swasta serta industri.

Pelbagai program akademik dan ko kurikulum  merangkumi program yang bercirikan  Revolusi Industri 4.0 serta bercirikan keushawanan dilaksanakan bagi mencapai matlamat visi dan misi untuk menjadi peneraju TVET yang unggul. Bagi memastikan program yang ditawarkan adalah  kekal relevan berdasarkan kepada keperluan industri semasa, pelbagai kolaborasi strategik telah ditandatangani dengan pihak industri tempatan dan antarabangsa selain kolaborasi dan program pertukaran pelajar  dengan institusi TVET di negara ASEAN.  Natijahnya, institusi ini telah berjaya mengeluarkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi, malah statistik kebolehpasaran graduan pada 2019 adalah 97.4%.

Selain itu, KKKB juga telah berjaya melakar pelbagai kejayaan samada diperingkat kebangsaan dan antarabangsa termasuklah bidang akademik, ko-kurikulum, penyelidikan, inovasi, ‘Corporate Social Responsibilities’.   Pada tahun 2019, KKKB telah berjaya merangkul Juara  Keseluruhan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Horizon  Baharu  anjuran JPPKK serta memenangi Semi-Grand Awards dan Gold Medal di Korea bagi  pertandingan Korean Women International, Innovation & Exposition.

KKKB juga mempunyai sebuah Pusat Teknologi Kenderaan Hybrid & Elektrik. Kerjasama dengan IMI UK ini menawarkan kursus pensijilan professional dalam bidang Teknologi Kenderaan Hibrid dan Elektrik kepada mekanik, tenaga pengajar dan pelajar bagi tujuan up-sklilling dan re-skilling. Pensijilan yang ditawarkan adalah pada tahap 1 hingga tahap 4 dimana selepas para peserta tamat dan lulus penilaian yang telah ditetapkan mereka akan di anugerahkan pensjilan oleh pihak IMI UK.

Akhir kata, saya amat mengalu-alukan semua pembaca untuk memberikan maklumbalas, pandangan serta cadangan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan yang ditawarkan oleh KKKB. Selamat melayari portal rasmi KKKB. Semoga maklumat yang disalurkan ini dapat membantu semua pihak yang berkaitan dengan KKKB.

Sekian, terima kasih

 

Ts. JASNI BIN MOHD YUSOFF

PENGARAH

KOLEJ KOMUNITI KEPALA BATAS